Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, August 7, 2013

Selamat Hari Raya, Awasi Keselamatan Diri dan Harta Benda

Selamat Hari Raya, Awasi Keselamatan Diri dan Harta Benda

1. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pembaca blog ini jika ada salah silap.

2. Sempena hari raya ini, saya berharap kita semua sama-sama membantu menjaga keselamatan diri dan harta benda diri sendiri dan masyarakat sekeliling. 

3. Kita menyambut hari raya kali ini dalam keadaan yang agak merunsingkan berikutan banyak sekali kejadian jenayah kecil dan besar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

4. Penjenayah seolah-olah tidak lagi takut kepada pihak berkuasa. Apakah kerana mereka telah kebal atau mempunyai perlindungan dari orang tertentu?

5. Pihak berkuasa terutamanya Polis pula berada dalam keadaan yang tidak selesa atau terikat untuk bertindak pantas dan segera. Ini kerana setiap kali berlaku insiden antara Polis dan penjenayah akan ada pihak yang muncul cuba mencari kesalahan Polis. Boleh dikatakan jika kita menjadi Polis, lebih duduk diam daripada bertindak. 

6. Keadaan ini harus diambil perhatian oleh Menteri Dalam Negeri yang baru. 

7. Walaupun kita tidak mahu Polis bertindak sewenang-wenangnya terutama dalam kes tembakan, namun Polis juga perlukan perlindungan undang-undang daripada menjadi mangsa "buli" kumpulan tertentu yang mempunyai agenda sendiri.

8. Kerajaan harus melakukan sesuatu untuk meyakinkan anggota Polis bahawa mereka akan dijaga dan dilindungi selagi menjalankan tugas dengan betul.

9. Harus diingat bila undang-undang ditegakkan pasti ada yang tidak menyukai kerana itulah tujuan undang-undang. Jika kita melayan golongan ini pasti segala usaha akan sia-sia seperti mencurah air ke daun keladi.