Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, May 29, 2014

Al-Fatihah Buat Almarhum Sultan Azlan

1. Al-Fatihah.  Semoga roh almarhum Tuanku Sultan Azlan Shah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, mendapat rahmat dan Rahim-Nya.

2. Saya percaya bukan sahaja rakyat negeri Perak tetapi juga seluruh Negara bersedih atas pemergian baginda.

3. Pengalaman menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu mendapati di sebalik ketinggian pencapaian baginda dalam bidang perundangan, pentadbiran dan akademik, almarhum merupakan seorang sultan yang mudah mesra dan senang berbincang.

4. Baginda juga sering menjadi rujukan dan panduan Majlis Raja-Raja apabila membabitkan hal-hal perundangan dan perlantikan anggota badan kehakiman Negara.

5. Semalam, Negara kehilangan seorang tokoh negarawan yang sukar dicari ganti.  Hanya Allah mampu membalas segala jasa dan sumbangan baginda kepada pembangunan negara ini.

Thursday, April 17, 2014

Takziah Kepada Keluarga Mendiang Karpal Singh

1. Berita kemalangan maut yang menimpa Ahli Parlimen Bukit Gelugor merupakan sesuatu yang amat mengejutkan. Namun itulah ketentuan Allah bahawa setiap manusia itu akhirnya akan "menghadap" pencipta yang maha kuasa apabila tiba waktunya.

2. Pemergian mendiang Karpal Singh merupakan satu kehilangan kepada Negara. Negara kehilangan seorang tokoh politik yang dihormati lawan dan kawan. Ada banyak hal saya tidak bersetuju dengan beliau termasuklah cara beliau menentang undang-undang Hudud.

3. Namun kita tidak boleh menafikan sumbangan beliau kepada pembangunan dan kemajuan negara ini terutama dari segi menjadi agen "checks and balances" kepada parti pemerintah.

4. Takziah kepada keluarga mendiang Karpal Singh. Saya berharap mereka semua dapat bersabar dan redha dengan kejadian ini.