Wednesday, July 15, 2009

Negeri Tiada Wang, Zakat Mahu Disalahgunakan?

Assalamualaikum dalam salam sejahtera,

1. Mohon maaf kerana tidak dapat menjawab pertanyaan saudara/i kerana sibuk berada di Dewan. Insyallah selepas ini mungkin banyak masa lapang apabila digantung dari sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

2. Saya tersenyum sahaja mendengar Tan Sri Khalid cuba memberi kuliah mengenai cara berniaga beliau di Dewan tadi. Saya tersenyum kerana Menteri Besar yang sama mencadangkan agar bukan Islam membayar zakat perdagangan kepada Baitulmal. Kerajaan negeri juga bercadang untuk menggunakan wang zakat untuk pembangunan. Apakah maknanya? Maknanya negeri sudah hampir kehabisan wang walaupun semasa mengambil alih pemerintahan negeri ada lebih dari RM 1 bilion.

3. Untuk makluman, Baitulmal di Malaysia atau di Selangor sendiri beerti pusat kutipan dan pengumpulan zakat.

4. Saya tidak pasti sama ada cadangan tersebut dibuat setelah mendapat pandangan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dato Hasan Ali dan Mufti negeri Selangor.

5. Sebagai muslim yang hanya terdidik dalam pendidikan agama di kampung, apa yang saya faham Zakat ialah satu ibadah yang ditentukan oleh agama berserta dengan rukunnya serta asnaf yang layak menerima zakat.

6. Jika saya salah, saya mohon ditunjukkan. Sepanjang pemahaman cetek saya, sumber pendapatan dan harta yang hendak dizakatkan haruslah milik orang Islam yang merdeka dan mendapatkannya dari sumber yang halal, suci dan bersih dari sudut agama, cukup haul dan nisabnya.

7. Apakah akan terjadi kepada ibadah zakat kita jika kerajaan negeri memutuskan yang bukan Islam juga boleh memberi zakat kepada Baitulmal?

8. Lebih teruk sudah ada cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan pembayaran gaji dan pembangunan fizikal seperti jambatan dan jalan raya. Apakah jambatan, jalan raya dan kakitangan kerajaan termasuk dalam asnaf yang layak menerima zakat?

9. Kita tahulah Selangor sekarang ditadbir oleh "tokoh korporat" terkemuka negara. Tapi janganlah bijak sangat sampai wang zakat pun dianggap sama taraf dengan cukai pendapatan, cukai perniagaan dan lain-lain.

10. Masalah kerajaan Selangor hari ini ialah mereka banyak membuat andaian berasaskan fantasi. Ini menyebabkan akhirnya unjuran yang dibuat tidak seimbangan dengan pendapatan yang dapat.

11. Misalnya mereka membuat unjuran RM 150 - 200 juta setahun untuk hasil pasir. Mereka menempelak kerajaan lalu sebagai rasuah dan korup kerana mengutip hasil pasir yang sedikit.

12. Malangnya di Dewan kita dimaklumkan sasarang tersebut jauh tersasr. Jumlah pengeluaran pasir negeri setakat ini hanya RM 22 juta. Sehingga kini kerajaan negeri hanya mengutip RM 4 juta dari doket pasir dan RM 7.5 juta melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd. Hanya RM 11.5 juta dari RM 22 juta dapat kepada kantung kerajaan.

13. Bukan pasir sahaja bermasalah. Beberapa bulan lalu, Kerajaan negeri juga membuat perancangan yang luar biasa termasuk mengumumkan RM 10 bilion untuk projek pembersihan sungai dan usaha menarik pelaburan bernilai RM 50 bilion.

14. Perancangan ekonomi bersandarkan andaian inilah yang menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri hari ini.

15. Pelaburan tidak datang menggolek. Setiap negeri berusaha menarik pelaburan asing. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri terlampau menumpukan pelaburan dari Cina dan Taiwan sehingga meninggalkan pelaburan asing lain seperti dari Eropah. Akibatnya pelaburan langsung asing Selangor merosot berbanding beberapa negeri lain yang sebelum ini di belakang Selangor.

16. Mungkin juga kerana telah menghentam kerajaan yang lalu kononnya menghabiskan wang ke luar negara, maka mereka hari ini tidak berani ke luar negara mencari pelaburan takut gagal dan dipersoalkan perbelanjaan nanti.

17. Atau mungkin juga kerana terlalu selesa duduk bersama syarikat anak emas kerajaan dahulunya hari ini tidak tahu "berdikari".

18. Bagi saya usaha menggunakan wang zakat ini adalah usaha untuk mendapat jalan mudah.

19. Tidak ada salah mencari jalan mudah memajukan negeri jika ia sesuai dan baik untuk rakyat. Namun janganlah sampai ibadat pun hendak disalahgunakan. Zakat ialah ibadat bukan pengumpulan wang sesuka hati. Perbelanjaan harus terhadap asnaf atau golongan yang ditentukan.

Friday, July 10, 2009

PPSMI Wajar Dimansuhkan Mulai Tahun Depan

Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri kerana mengambil keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu mulai 2012. Saya pernah menyarankan perkara ini pada Disember 2008 di bawah tajuk Kembalikan Matematik dan Sains Kepada Bahasa Melayu.

2. Saya mengucapkan terima kasih bukan kerana saya gembira dan tidak bersetuju dengan langkah pengenalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu. Saya percaya langkah yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir merupakan visi masa depan untuk rakyat.

3. Saya juga memahami kekecewaan YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai pemimpin Dr. Mahathir telah diketahui mempunyai sikap yang tegas dan "keras" dalam melaksanakan sesuatu agenda yang boleh menjadikan rakyat Malaysia satu bangsa yang hebat.

4. Namun tidak semua yang mempunyai matlamat unggul dapat dilaksanakan. Impian dan harapan kadang-kala tidak dapat direalisasikan kerana realiti sendiri tidak membenarkannya.

5. Bagi saya kita boleh menonjolkan fakta-fakta kejayaan pelajar dalam PPSMI tetapi apakah kita mahu melupakan ramai yang tercicir dalam sistem ini?

6. Saya berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kerana akhirnya kita tidak "menghalang" keupayaan anak-anak kita untuk menguasai ilmu asas dalam matematik dan sains.

7. Sokongan saya kepada pemansuhan PPSMI berasaskan prinsip tidak mahu anak-anak kita, terutama di luar bandar, bukan sahaja gagal menguasai bahasa Inggeris tetapi juga gagal menguasai matematik dan sains. Ini telah banyak direkodkan dalam kajian banyak badan-badan bukan kerajaan seperti Gapena, Teras dan ahli-ahli akademik yang tidak mempunyai agenda politik kepartian.

8. Bagi mereka yang marah kepada kerajaan mereka perlu faham bahawa sistem ini memberi banyak masalah sehingga menjejaskan pencapaian anak-anak di luar bandar. Kita kekurangan guru yang mahir untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

9. Saya tidak pasti mengapa PPSMI perlu dimansuhkan pada 2012. Kerajaan boleh sahaja memansuhkan pada tahun hadapan kerana di kebanyakan sekolah, ia masih diajar dalam keadaan dwi bahasa. Malah soalan-soalan juga diadakan dalam dwi bahasa.

10. Paling baik ialah kerajaan mulakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu pada tahun hadapan bermula dengan Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

11. Bagi pelajar dalam sistem sedia ada, guru dan pelajar harus berbincang dan menentukan sama ingin meneruskan dalam sistem PPSMI sehingga 2012 atau terus bertukar kepada bahasa Melayu.

12. Saya juga ingin mengulangi beberapa cadangan saya pada tahun lalu untuk pertimbangan Kementerian Pelajaran :

a. Memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan PSSMI ini sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.

b. Elaun tambahan yang sebelum ini diberikan kepada guru PPSMI boleh dikekalkan dengan syarat mereka memperuntukkan beberapa jam tertentu dalam seminggu mengajar kelas tambahan sebelah petang kepada para pelajar.


13. Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matematik dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.

14. Selain itu, jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan inggeris di peringkat lebih awal.

15. Malahan kualiti guru-guru bahasa Inggeris juga perlu diperkasakan. Jika perlu, kerajaan boleh mengambil tenaga asing yang pakar dalam isu "Teaching English as a Second Language" di setiap negeri atau daerah bagi melatih guru-guru bahasa Inggeris secara berkala.

Thursday, July 9, 2009

Fakta Dan Angka Tidak Boleh Menipu

Dakwaan:
i. Saya mengeluarkan belanja RM 24 juta untuk tanah dan banglo di Seksyen 7, Shah Alam
ii. Saya membuat penilaian semberono untuk hartanah tersebut
iii. saya beli tanah berharga hampir RM 4 juta dengan bayaran tunai.

Fakta:
i. Saya membeli tanah dan Banglo terbengkalai.
ii. Saya melakukan sedikit ubahsuai bagi menyelesaikan banglo terbengkalai tersebut.
iii. Penilaian dibuat oleh ejen hartanah bertauliah, Rahim & Co

Angka:
i. RM 3.5 juta - jumlah harga tanah dan banglo terbengkalai yang saya beli atas nilaian Rahim & Co.
ii. RM 3 juta pinjaman HSBC
ii. RM 600 ribu - kos pembaikan dan ubahsuai bagi menyiapkan banglo yang terbengkalai tersebut.
iii. RM 24 juta - jumlah nilaian ejen tidak bertauliah dari Sekinchan.


Komentar

1. Sungguhpun saya mahu menunggu kes di Mahkamah, namun ada yang berpendapat kes Mahkamah akan memakan masa dan mungkin ketika keputusan diperolehi ia tidak lagi ada ertinya. Dengan kata lain, persepsi politik hari ini jika tidak dibetulkan boleh membawa mudarat segera sedangkan keputusan mahkamah bagi kes sivil akan memakan masa bertahun lamanya.

2. YB Sekinchan menuduh saya memiliki sebuah banglo berharga RM 24 juta. Saya tidak menafikan banglo tersebut milik saya, namun saya menafikan ia berharga RM 24 juta.

3. YB Sekinchan mendakwa saya membeli tanah sahaja dengan harga hampir RM 4 juta dan membina banglo berharga RM 20 juta. Dengan menggunakan kiraan gaji dan elaun Menteri Besar, beliau mempersoalkan dari mana saya mendapat wang membeli tanah berharga sedemikian.

4. Berdasarkan gambar dan tuduhan-tuduhan palsu YB Ng Sue Lim, ramai yang menjadi pakar hartanah sekelip mata. Maka nilaian harta diletak sesuka hati tanpa pun mengetahui status tanah dan syarat-syarat lain ke atas tanah tersebut. Maka saya dituduh membuat anggaran sendiri. Malahan ada yang mendakwa saya menipu kononnya mengambil pinjaman bank. Ada pula yang beranggapan saya membayar secara tunai pembelian tersebut.

5. Saya menyatakan saya membeli rumah yang terbengkalai (hampir siap) dan tanah dari syarikat yang menghadapi masalah kewangan dengan harga RM 3.5 juta, di mana RM 3 juta melalui pinjaman bank HSBC. Saya menyiapkan bahagian yang terbengkalai dengan harga RM 600 ribu.


6. Faktanya, nilaian tanah dan rumah terbengkalai tersebut di lakukan oleh sebuah ejen hartanah terkemuka, Rahim & Co. (di sini saya sertakan salinan surat nilaian tersebut). Dalam surat tersebut jelas menunjukkan Rahim and co menilai tanah dan bangunan (banglo terbengkalai tersebut) dengan harga RM 3.5 juta.



7. Saya juga menyertakan sebahagian Perjanjian Jual Beli bagi membolehkan saudara/i memahami syarat-syarat pemilikan tanah tersebut dan butiran jual beli.



8. Selepas menyemak dokumen pinjaman, ada sedikit kesilapan fakta dalam kenyataan saya sebelum ini. Pinjaman HSBC saya bukanlah untuk 30 tahun tetapi untuk jangka masa 23 tahun. (lihat lampiran)






9. Setelah pendedahan ini saya berharap semua pembaca dapat membuat penilaian secara ikhlas bukannya sekadar mengutuk kerana benci kepada saya mahu pun UMNO.

Monday, July 6, 2009

Rumah RM24 Juta, Separuh Untuk Ng Sue Lim

Tambahan (8 Julai 2009):
a. Saya bersedia menjual dengan harga RM 24 juta memandangkan ia anggaran kos tanah dan rumah oleh "penilai berwibawa" dari Sekinchan. Jadi tidak timbul soal saya mesti jual rumah tersebut dengan harga RM 7 atau 8 juta.

b. Butiran pembelian dan segalanya akan didedahkan dalam mahkamah nanti kerana peguam saya sedang menyediakan dokumen perundangan terhadap Adun Sekinchan, YB Ng Sue Lim.

Tulisan Asal

1. Pagi tadi ADUN Sekinchan (kami berjiran dari segi geografi kedudukan DUN) membawa pemberita melawat rumah saya di Shah Alam dan kemudiannya membuat kenyataan akhbar yang membawa maksud seolah-olah saya memperolehi pendapatan dari sumber yang tidak sah. Ini merupakan tindakan desparado untuk mengalih tumpuan daripada isu-isu dalaman pakatan mereka dan juga kegagalan beliau melaksanakan tugas wakil rakyat beliau dengan baik di Sekinchan.

2. Sungguhpun isu rumah ini telah beberapa kali timbul, saya mengambil sikap tidak menjawab atau memberi respon kerana berpendapat bahawa rumah saya adalah isu kehidupan peribadi saya. Ini kerana saya yakin saya tidak melakukan sebarang kesalahan atau pun jenayah kerana semuanya ada rekod dan telah pun disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (sekarang ini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

3. Namun tindakan Ng Sue Lim menjadikan isu rumah saya sebagai bahan berita memerlukan saya memberi penjelasan sedikit sebanyak mengenai isu ini.

4. Saya membeli rumah tersebut beserta tanahnya melalui pinjaman bank HSBC sebanyak RM 3.5 juta.

5. Jika Ng Sue Lim membuat penyelidikan dahulu beliau akan mengetahui bahawa pembelian tersebut termasuk rumah dan kolam renang. Saya hanya melakukan sedikit pengubahsuaian terhadap bumbung yang ketika itu belum siap.

6. Untuk rekod juga pembelian tersebut telah pun disiasat oleh BPR ketika itu dan juga telah saya maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu. Jadi tidak timbul saya menyembunyikan pemilikan rumah tersebut.

7. Berhubung dengan dakwaan bahawa rumah saya bernilai RM 24 juta, saya dengan ini mengemukakan tawaran terbuka kepada beliau untuk mencari pembeli dengan harga tersebut. Sekiranya ada, saya akan membayar komisyen sebanyak 50% atau RM 12 juta kepada beliau.

8. Ini semua adalah taktik politik yang dirancang menjelang Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menghalalkan usaha menggantung saya dan empat adun yang lain. Selain itu ia juga bertujuan untuk dijadikan modal dalam sidang DUN nanti sekaligus mengalih tumpuan daripada isu-isu pentadbiran dan pembangunan negeri sekarang ini.


9. Mereka mahu mengelirukan rakyat dan menarik simpati. Bagi mereka jika Khir Toyo yang ada rumah besar bernilai berjuta tidak didakwa, maka tidak sepatutnya Khalid Ibrahim terbabit dalam kes kecil seperti lembu korban, tinted kereta dan beberapa isu lain didakwa atau disiasat.

10. Dengan membuat dakwaan bombastik seperti ini, Pakatan DAP-PKR berharap ia memberi tekanan kepada SPRM agar tidak menyiasat dan mendakwa Tan Sri Khalid Ibrahim dalam beberapa isu salah laku pentadbiran.

11. Apakah mereka benar-benar memperjuangkan ketelusan dan anti korupsi atau sekadar menyanyikan untuk memburukkan pemimpin Barisan Nasional demi merebut kuasa?

12. Saya tahu bagi mereka yang telah tertutup mindanya tidak akan menerima apa-apa penjelasan pun. Saya hanya menjelaskan kepada mereka yang ingin mencari kebenaran.

Wednesday, July 1, 2009

Air oh Air: Kerajaan Negeri Hampir Muflis?

Update:

Saya baru terbaca FAQ oleh kerajaan Selangor yang diulas oleh Selangordaily.com. dan juga salah seorang pengunjung di sini.

Dalam fasal 3 FAQ tersebut berbunyi:

• Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan cadangan untuk mengambil alih kesemua aset syarikat-syarikat konsesi tersebut, dan membayar ekuiti pelaburan mereka pada kadar 12 peratus setahun. Jumlah ini dijangka menjadi RM5.7 bilion (iaitu nilai aset berjumlah RM4.6 bilion, nilai ekuiti bernilai RM1.1 bilion).

• Jika cadangan ini diterima, barulah Kerajaan Negeri Selangor memindahkan RM4.6 bilion nilai aset syarikat-syarikat konsesi, dan RM9.7 bilion nilai aset air milik Kerajaan Negeri kepada PAAB.

• Hasil daripada jualan aset berkaitan air itu nanti, Kerajaan Negeri Selangor dijangka menerima RM14.3 bilion dalam bentuk tunai dan bon daripada Kerajaan Persekutuan.


Apa guna kerajaan negeri membeli syarikat tersebut dan kemudiannya menjual pula kepada kerajaan persekutuan? Lebih baik kerajaan persekutuan beli terus.

Saya juga tertanya-tanya bagaimana janji mereka mahu menurunkan tarif air kepada 24% sedangkan mereka sendiri ingin menjual kesemua kosensi pengurusan air ini?

Ada satu lagi fasal yang menarik iaitu fasal 6 dalam FAQ tersebut yang menyatakan:

• Kerajaan Persekutuan masih terus menolong syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional. Syabas didapati menaja Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, termasuk tahun 2009.


Seingat saya sebagai Ahli MT, tidak pernah dimaklumkan tajaan syabas kepada perhimpunan Agung UMNO termasuk pada 2009. Saya juga tidak nampak sebarang bukti nyata tajaan syabas. Ini berbeza sekali dengan Muktamar Pas 2009 yang menyaksikan Puncak Niaga (salah satu yang dituduh kroni UMNO) telah menaja banting dan buku cenderamata muktamar tersebut.

Sekarang Puncak niaga kroni siapa pula?

Tulisan Asal

1. Saya pernah menyarankan agar kerajaan negeri dibenarkan mengambil alih pengurusan air negeri di Lembah Klang. Sila baca Antara Slogan dan Realiti: Biarkan Kerajaan Negeri Uruskan Air Selangor.

2. Sehingga hari ini dilaporkan kemelut ini belum selesai. Hanya konsortium ABBAS yang 55% sahamnya dimiliki oleh Kumpulan Perangsang Selangor (anak syarikat kerajaan negeri) yang bersetuju dengan tawaran kerajaan negeri. Manakala lain-lain syarikat yang terbabit menolak

3. Manakala syarikat lain seperti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) Puncak Niaga Holdings Bhd dan Syarikat Bekalan air Selangor telah menolak tawaran Kerajaan Negeri yang mereka anggap rendah dan merugikan.

4. Saya tertanya-tanya apakah kerajaan negeri serius dalam mengemukakan tawaran pengambil alihan atau sekadar "bermain politik" bagi mencari populariti tanpa perlu bekerja.

5. Kerajaan Negeri membuat tawaran yang rendah agar para pemegang saham syarikat-syarikat ini menolak tawaran tersebut. Ini sekaligus membantu melepaskan segala beban janji mereka.

6. Pengurusan air hari ini merupakan satu industri yang memakan kos yang tinggi. Selain sungai yang tercemar, sumber air bawah tanah juga kian berkurangan. Ini menyebabkan kerajaan Persekutuan terpaksa memperuntukkan hampir RM 12 bilion bagi menyediakan infrastruktur penyaluran air dari Pahang. Pengurusan air di Selangor nanti juga perlu membayar harga air mentah ini kepada Pahang.

7. Justeru amat mustahil untuk kerajaan negeri memenuhi janji mereka bagi menurunkan harga air jika mereka mengambil alih pengurusan. Jika kita baca kenyataan mereka semuanya bersifat retorik sahaja. Mereka tidak pernah mendedahkan bagaimana mereka boleh menurunkan harga air tanpa memperjudikan kualiti air, paip dan juga kuantiti yang mencukupi.

Tiada Air Percuma Dalam Erti Kata Sebenar

8. Tahun ini sahaja kerajaan negeri perlu membayar hampir RM 200 juta (setahun)kepada Syabas sebagai tampungan subsidi air sebanyak RM 17 juta sebulan. Sebenarnya tiada istilah air percuma seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan negeri. Apa yang berlaku ialah bayaran tersebut telah berpindah daripada RM 11.40 sebulan bagi sebuah rumah kepada perbelanjaan kantung kerajaan sebanyak RM 200 juta setahun.

9. Ini bermakna kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM 200 juta bagi tahun ini. Pengurangan ini bermakna akan mengurangkan aktiviti ekonomi sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan kepada perniagaan kecil dan sederhana. Akhirnya kesan tersebut akan kembali kepada rakyat yang menjadi peniaga dan pekerja - pendapatan, upah dan bonus akan berkurangan.

10 Lebih serius, pendapatan kerajaan negeri enam bulan pertama tahun ini hanya separuh daripada unjuran sebenar. Kerajaan negeri mengunjurkan pendapatan sebanyak RM 700 juta dalam enam bulan pertama tahun ini, namun jumlah yang diperolehi hanyalah RM 450 juta.

11. Jika keadaan ini berterusan sehingga akhir tahun, kerajaan negeri akan mengalami belanjawan defisit dan boleh bankrupt dalam setahun dua akan datang jika terus diuruskan secara semberono berbelanja melebihi pendapatan.

12. Sebab itu kita dapati usaha-usaha untuk menguasai pengurusan air negeri hanyalah cakap-cakap retorik politik. Mereka tahu tawaran pembelian tersebut tidak akan diterima kerana harga yang ditawarkan tidak memuaskan hati pihak yang ingin menjual. Mereka melakukan tawaran sedemikian supaya ia ditolak.

13.Maka pelbagai janji dibuat bagi membolehkan mereka menyalahkan kerajaan pusat pada masa akan datang termasuk menurunkan tarif air sehingga 24% dan mengekalkan air percuma.

14. Apabila kerajaan pusat mengambil alih nanti tentulah ia tidak boleh memberi air bersubsidi demikian kerana jika dilakukan ia harus membabitkan rakyat seluruh negara. Jika kos bagi Selangor sahaja mencecah RM 200 juta setahun, tentulah kos tersebut mencecah bilion ringgit apabila ia dilaksanakan di seluruh negara? Ini pasti tidak akan dapat dilakukan, apatah lagi dengan kos pembangunan terowong air Pahang-Selangor sahaja mencecah RM 12 bilion.

15. Inilah taktik kerajaan selangor hari ini. Dan tidak lama lagi kita akan menengar lagu air oh air ini akan terus didendangkan sama seperti lagu bangau oh bangau. Yang bakal menjadi mangsa nanti jika isu ini tidak diuruskan dengan betul ialah rakyat.