Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, November 29, 2011

JUSA Luar -Sistem Kerajaan Akan Porak-Peranda?

1. Semalam Utusan melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk membenarkan mereka yang di luar skim perkhidmatan awam memohon menjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Menurut laporan tersebut mereka yang berpengalaman di sektor swasta boleh memohon menyertai JUSA C dan ke atas.

2. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh dilantik menjawat jawatan dalam kategori JUSA C sehingga ke Ketua Setiausaha Negara tanpa perlu melalui Sistem Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

3. Kita dimaklumkan bahawa cadangan ini sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam sektor awam. Kononnya, melalui pengambilan kepakaran tenaga di luar kerajaan maka kerajan akan menjadi lebih baik, cekap dan efektif.

4. Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia bukan sahaja merendah-rendahkan kualiti PTD kita tetapi juga merosakkan sistem pemilihan dan kenaikan pangkat PTD sedia ada tanpa sebab yang munasabah.

5. Tidak dinafikan terdapat kelemahan dan kepincangan di kalangan segelintir pegawai kanan kerajaan. Namun proses pembetulan, tindakan disiplin dan tunjuk ajar harus dibuat dalam konteks sistem yang sedia ada.

6. Alasan untuk mendapat kepakaran luar untuk membantu kerajaan adalah sangat lemah kerana bagi sesebuah kementerian yang mempunyai pelbagai isu dan masalah yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan mengambil mereka yang pakar dalam sesuatu bidang.

7. Tugas para pegawai kanan kerajaan ialah melaksanakan polisi, memberi pandangan dan membantu merangka polisi. Untuk merangka polisi ini adalah tugas mereka sebagai pentadbir untuk mengumpul sebanyak maklumat dan pandangan dari pakar-pakar dalam bidang yang diperlukan untuk sesuatu polisi.

8. Namun untuk melaksana polisi kerajaan kita memerlukan para pegawai kerajaan yang cekap, mahir dan tahu organisasi dalam kerajaan, rangkaian arahan dalam kerajaan dan juga peraturan serta undang-undang yang membabitkan bidang kuasa mereka. Ini tidak mungkin dapat difahami oleh kumpulan luar yang dibawa masuk secara "payung terjun" melalui sistem yang dikatakan akan diperkenalkan dalam sedikit masa lagi.

9. Sebab itu seseorang PTD mengambil masa lama untuk sampai ke jawatan pegawai kanan kerana mereka melalui pelbagai pengalaman kerja di pelbagai peringkat kementerian, jabatan dan organisasi dalam kerajaan bagi membolehkan mereka menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan. Pengalaman dan pengetahuan inilah kemudiannya akan membantu mereka melicinkan jentera kerajaan dan juga mengawal tata laku mereka sebagai pegawai kanan kerajaan apabila memasuki kumpulan JUSA.

10. Adalah sangat berbahaya kepada pentadbiran kerajaan dan juga individu yang menjawat jawatan tinggi sekiranya mereka tidak memahami dengan cekap segala peraturan, undang-undang dan keadaan dalam organisasi kerajaan.

11. Jika selama ini Menteri dan Menteri Besar yang baru boleh mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada pegawai kanan kerajaan mengenai perjalanan kerajaan, saya khuatir pada masa akan datang kita akan mendapati terdapat keadaan Menteri atau Menteri Besar baru dinasihati oleh mereka yang dibawa masuk dari luar sebagai Ketua Setiausaha atau Setiausaha Kerajaan Negeri. Kedua-dua mereka tidak menguasai peraturan kerajaan dan mungkin boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran undang-undang dan juga kecelaruan pentadbiran.

12. Selebihnya, laluan jalan belakang ke dalam jawatan-jawatan kanan sistem perkhidmatan awam ini akan menyebabkan para pegawai dalam sistem yang sedia ada berasa kecewa, terpinggir dan tidak lagi mempunyai motivasi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Ini boleh menjadi masalah besar kepada parti pemerintah.

13. Kerajaan juga akan terdedah kepada tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan pilih kasih dalam pemilihan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Jika selama ini Perkhidmatan Awam dianggap berkhidmat kepada kerajaan sedia ada, pada masa akan datang pegawai kanan kerajaan akan dianggap alat parti politik semata-mata.

14. Ini akan meletakkan kedudukan pegawai kanan kerajaan dalam keadaan tidak menentu. Mereka pastinya akan disingkirkan jika berlaku perubahan dalam parti pemerintah. Justeru adalah dikhuatirkan kumpulan pegawai kanan ini tidak lagi boleh menjalankan tugas dengan profesional kerana untung nasib mereka terletak sepenuhnya kepada tuan politik.

15. Mereka yang mahu memperkenalkan dasar pengambilan kumpulan luar memasuki JUSA ini harus mengenal pasti dulu apakah masalah sebenar yang mereka mahu atasi. Saya percaya jika mereka telah mengenal pasti masalah sebenar yang mereka mahu atasi, maka soal memperbaiki perkhidmatan kerajaan boleh dijalankan secara dalaman sahaja.

16. Pegawai kerajaan bergantung kepada Peraturan AM Kakitangan kerajaan dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan maka soal Peraturan Am dan Polisi kerajaan yang harus disemak terlebih dahulu.

17. Jika ada kelemahan dan keperluan pengisian ilmu para PTD maka adalah tugas kerajaan untuk meningkatkan kualiti PTD. Ia boleh dibuat melalui pengambilan yang lebih cermat, latihan dari semasa ke semasa dan memberi ruang lebih luas kepada para pegawai kanan kerajaan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

18. Ada perubahan yang membawa kekuatan dan kejayaan; namun ada juga perubahan yang mungkin boleh membawa kelemahan dan kehancuran. Dalam konteks inilah saya berharap jangan lain yang bengkak, lain yang bernanah dan lain pula tempat diubatinya. Akhirnya nanti kita jadi seperti tikus membaiki labu. Saya khuatir pengenalan sistem ini bukannya akan memperbaiki sistem pentadbiran kerajaan tetapi lebih memporak-perandakan pentadbiran sedia ada.

57 comments:

  1. tapi bagus juga.kita memerlukan seorang ketua yang tiada kepentingan politik mana-mana pihak.kebanyakkan pegawai berpangkat tinggi ni adalah penyokong parti pembangkang.semua dalam sektor awam tahu. mereka inilah yang selalu membocorkan rahsia kerajaan kepada pihak tertentu

    ReplyDelete
  2. GPB sokong pandangan DS Khir tentang isu JUSA ini

    ReplyDelete
  3. tak cukup ke proses pembetulan dan penambahbaikan yg berlaku dari dalam? ada mcm2 transformasi boleh dilakukan dlm perkhidmatan awam tetapi kalau yg ini....hmm, mcm nk hancuskan sektor awam. dh kehabisan idea ke pak pak menteri oii!!!!

    ReplyDelete
  4. Sokong dengan pandangan Dr. Nampak keadaan seperti perkhidmatan awam akan dijadikan bola oleh parti pemerintah dan juga pihak pembangkang untuk di'main' secara suka-suka.

    ReplyDelete
  5. kebanyakkan pegawai kanan kerajaan sekarang pro pembangkang....banyak rahsia kerajaan diaorang salur pada orang luar...tak beretika langsung...

    ReplyDelete
  6. Dr Khir; apahal pulak dengan ahli politik yang menjadi anggota pentadbiran pulak..? dah nak masuk tahun ke 55...tapi masih tak cukup pengalaman untuk membuat dasar....???

    ReplyDelete
  7. Salam YB Dr Khir. Alhamdulillah YB sudah di alam maya kembali setelah selesai mengerjakan ibadah haji. Moga YB telah mendapat haji yang mabrur Insya-Allah dan moga YB dan keluarga juga sentiasa di bawah lindungan Allah swt hendaknya. Insya-Allah.

    Kita berharap agar ianya sekadar cadangan sahaja dan akan mendengar dan melihat tindak balas apakah yang akan berlaku selanjutnya.

    Jika kerajaan persekutuan melaksana dan mempraktikkan perkara ini, dikhuatiri akan ada yang tidak berpuas hati khususnya yang sudah sekian lama berkhidmat di dalam satu-satu perkhidmatan awam yang menjangkakan merekalah yang lebih layak untuk itu.

    Dikhuatiri juga akan terjadinya seperti fenomena PRU12. Orang luar jadi calon YB lantaran kena tolak mentah-mentah. Tan Sri MB kita pun mengambil khidmat penasihat ekonomi negeri Selangor dari luar dan amat besar sekali 'jasa' tuan penasihat kita.

    Janganlah kerana terlalu ingin melaksanakan GTP, penjawat awam yang sudah senior bakal dikecewakan. Sudahlah umur bersara dilanjutkan, ada pula cadangan yang sebegini rupa. Tidak baguskah mereka?

    Bukan menolak untuk kemajuan, tetapi yang kita telah sedia ada ini 'di lebih majukan' lagi.Pernah saya berkhidmat di sebuah syarikat multinasional (mat saleh company) suatu ketika dulu. Seorang pengurus yang disegani dahulunya hanyalah seorang operator mesin.

    Memang berlainan bidang tetapi apa yang perlu kita lihat penghargaan dan polisi syarikat itu untuk lebih memajukan pekerjanya ke tahap yang lebih tinggi lagi. Jangan nanti ada pegawai luar yang hebat tetapi orang bawahan buat tak layan. Tak ke menyusahkan orang ramai yakni rakyat jelata juga nanti.

    Dikhuatiri juga akan lebih banyak berlaku birokrasi.. Lagi leceh nak berurusan..

    ReplyDelete
  8. salam dr,

    belum cuba belum tahu..tak gitu?

    TQ

    ReplyDelete
  9. aku baca tajuk saja terus sokong dr m-khir sebabnya mudah saja macam pendatang asing masuk kenegara kita mereka tu tak tahu semua undang-undang negara kita kekadang tu perangai ikut suka je...dok gitu !, kalau nak buat perubahan pun jangan pelingkup bangsa Melayu dah la dengarnya jusa luar ni nak mengurangkan bangsa Melayu yg dok atas tu, maaf la ya kalu silap jangka.

    ReplyDelete
  10. Setuju dengan cadangan JUSA keatas dariluar..tetapi dipohon daripada jawatan -jawatan lain..contohnya bukan PTD sahaja yang layak..daripada disiplin lain skim doktor, kewangan, sosial, bakat dan seni dan lain2..Ini disebabkan PTD terlalu berkuasa dan mementingkan kelompok PTD sahaja..tanyalah di jabatan-jabatan yang di terajui oleh PTD..terlalu bias..

    ReplyDelete
  11. Setuju dengan saudara Mat...byk yg just warming the chair DSKT...

    ReplyDelete
  12. sokong Dr. Khir. Kalau betul kerajaan nak buat macam tu maknanya buang masalah graduan ipt belajar tinggi2 dan lulus exam PTD. Jangan jalan singkat sgt bila buat keputusan.

    PENYOKONG TEGAR DR.KHIR TOYO

    ReplyDelete
  13. salam semua saya melihat perkara ini sebagai positif kerajaan sangat bijak dlm urus tadbir negara dgn izin Allah. jika JUSA dr luar sudah barang pasti idea baru mencurah-curah krn mereka lebih celik matanya dari JUSA yang ada2 ni.. kerajaan mmg bijak tahniah..

    ReplyDelete
  14. Saya sokong pandangan YB Dr Khir. Malah bagi saya penggunaan pakar boleh juga digunakan dengan cara jururunding sahaja. Sebenarnya untuk menghapuskan ketidakcekapan kakitangan awam, salah satu cara ialah dengan menukar pemikiran mereka iaitu "mereka boleh dibuang atau diberhentikan" sekiranya mereka melakukan kesalahan atau dibatalkan pencenm mereka kemudian hari. Ini adalah kerana pemikiran mereka yang sediaada iaitu "mereka tidak akan dibuang dari sektor awam walaupun mereka melakukan kesalahan yang berat seperti rasuah dan salahguna kuasa". Sebenarnya pemikiran inilah yang telah menjahanamkan kredibiliti kakitangan awam negara bukan sahaja pada masa kini tetapi dari dlu lagi.

    ReplyDelete
  15. Dr Khir, terkejut besar saya bila membaca tajuk akhbar berkenaan pekara ini. Saya tertanya-tanya idea bebal siapakah sampai cadangan dangkal begitu ditimbulkan. Nampak sangat seolah ada usaha untuk sabotaj kerajaan BN dalam pekara ini kerana para PTD akan merasa dianak tirikan oleh kerajaan.

    Harap=harap idea bebal ini TIDAK diteruskan.

    ReplyDelete
  16. Dr,
    Bagus juga bila baca blog Dr. Semenjak kekalahan Selangor pada PRU 12 jelas telah mematang dan menginsafkan Dr. Pemikiran dan pemerhatian menjadi lebih matang dan bernas.
    Apakah pemimpin BN perlu ditumpaskan dahulu supaya menjadi lebih matang dan bernas? Banyak tindakan dan pandangan diutarakan hasil pemikiran kepala lutut lebih daripada kepala otak. Jangan diulangi kesilapan zaman Paklah. Pegawai PTD sedia Ada berpengalaman dan berkebolehan tetapi masih perlu dipantau teliti. Isu NFC tidak sepatutnya berlaku sekiranya prosedur dan pemantauan dibuat. Jumlahnya besar RM250 Juta dan orang yang luluskan jua besar. Tetapi kenapa dikatakan Oleh PAC bahawa wangnya dikeluarkan sebelum perjanjian dimeterai?

    ReplyDelete
  17. salam

    1. isu yang dibangkitkat oleh Sdr Mat dan beberapa rakan mengenai kerajaan yang menyokong pembangkang. Bagi saya kalau mereka sekadar menyokong tetapi tidak mensabotaj polisi kerajaan dan tidak membocorkan rahsia kerajaan itu adalah hak demokrasi. namun jika mereka bertindak membantu pembangkang dengan mensabotaj kerajaan maka tindakan harus diambil.

    Jika kita ambil dari luar pun tidak mustahil mereka ini akan menyokong pembangkang dan mensabotaj kerajaan. Lihat sahaja pegawai-pegawai besar dalam GLC kita berapa ramai yang menyokong pembangkang dan memberi pelbagai pandangan menyusahkan kehidupan rakyat. Apakah mereka ini tidak mensabotaj kerajaan?

    ReplyDelete
  18. Sokong dr khir. Sape yg mencdgkan ni tamat kan segera kontrak dia. Antara punca bn teruk dlm pru 12. Tak faham ke?

    ReplyDelete
  19. Lebih baik diswastakan saja Perkhidmatan Awam..awak tu dah 3 kali sambung jawatan KSN. Bila tiba giliran orang lain ,awak nak swastakan pula jawatan2 berkenaan. KSN yg terlebih cerdik.....

    ReplyDelete
  20. Dr, post KSU bukan hak ptd.sepatutnya skim lain boleh isi juga. KSU Kesihatan, sapa layak kalau bukan pegawai perubatan. KSU Kerjaraya bukan kah jurutera lebih sesuai. Ini semua ya diisi oleh ptd. Masa dah sampai meletakan pakar mengetuai bidangnya. Pakar berkenaan berkemanpuan dalam nya dan pengurusan. Aspek pengurusan telah diterapkan didalam semua bidang kepakaran dan teknikal. Ptd ni hanya sesuai di kementerian Luar. Apa komen Dr?
    Ali sidik

    ReplyDelete
  21. harap2 ianya tak di laksanakan ,org yg berada dlm glc biase nyer pentingkan profit jer..padahal sebagai kerajaan kiter bukan buat keuntungan tapi membuat tabdir urus serta khdimat pada rakyat.jgn esok ader skim yg dilaksana oleh kerajaan sebelum ini tetapi biler x nampak untung dicantas kerana mereka pikir untung sedangkan tanggunjawab kerajaan bukan penting kan keuntungan ....tetapi pikir kan keamanan,kemakmuran dan kesejahteraan.

    ReplyDelete
  22. Assalamualaikum YB Dr Khir...
    Saya baca tajuk utama dalam akhbar pun dah tak setuju... Automatik cakap sektor kerajaan telah 'diekonomikan'. Kerajaan patut mengambil iktibar daripada pelaksanaan memberi impak negatif kepada negara dan rakyat... Contohnya pelantikan DS Idris Jala sebagai Menteri Khas yang menjaga ekonomi... semuanya dasar2 kerajaan diekonomikan sehingga membebankan rakyat dan kerajaan...

    ReplyDelete
  23. Salam,

    cuba dulu dgn mengeluarkan JUSA-JUSA yang tidak sehaluan dgn kerajaan. Ada JUSA-JUSA yang sedia ada sekarang tidak berapa faham kerja mereka.

    ReplyDelete
  24. Kerajaan nak melakukan perubahan melalui GTP tapi gagal disebabkan JUSA sedia ada sendiri tak mahu berubah dan masih ingin berada dalam zon selesa. Untuk mendapat keputusan NKRA yg cemerlang perlu datang dari CEO yg cemerlang dan bukannya lagi berdasarkan senioriti dan golongan skim2 perkhidmatan tertentu. Just Do It..

    ReplyDelete
  25. salam semua,

    "PTD akan merasa dianak tirikan" oleh taruk tu buat aku nak tergelak je. Kenapa tak sedar ke selama ni PTD menganaktirikan orang lain tp terasa dianak tiri mengikut cadangan tersebut? Tahu tak Dr dan semua kita di sini, sebenarnya dah lama PTD buat perkhidmatan lain sebagai anak tiri. Mana tempat PTD tak masuk rebut dan rompak peluang kenaikan pangkat perkhidmatan2 lain? Saya sokong 1000% cadangan ini dilaksanakan tapi ianya MESTILAH TERBUKA KEPADA SEMUA YANG LAYAK DAN BERPOTENSI bukan setakat dari kalangan sektor swasta sahaja. Berapa ramai yang hebat dari skim-skim perkhidmatan yang lain tapi tidak berpeluang kerana dinafikan oleh PTD. Cuma untuk hasil yang lebih baik, kerajaan patut bubarkan saja semua skim yang ada dan wujudkan satu skim/skim tunggal sahaja dalam perkhidmatan kerajaan.

    sekian terima kasih.

    ReplyDelete
  26. Jawatan KSU dan KSN buka kepada orang yang layak,berkebolehan dan pakar baru boleh tranformasi perkhidmatan awam dapat dibuat dalam erti sebenarnya. Jika tidak aspek lama je kulit saja yang baru. Cuma sediakan garispanduan yang jelas agar tidak dikelirukan dan diambil kesempatann pihak tidak bertanggungjawab. Dato Najib buat perubahan yang betul!!!!

    ReplyDelete
  27. hahaha puas hati aku. aku sokong langkah kerajaan.. kebanyakan PTD ni berlagak je lebih dan pandang kakitangan lain sebagai hamba mereka. Golongan PTD ni mengarah je lebih tp kerja mampus tak leh buat.. harap orang bawahan jer yg tungkus lumus buat kerja tapi yang naik pangkat cepat golongan mereka ni lah..

    ReplyDelete
  28. elok sgt la tu.. lepas ni sume x yah ade cita2 nk suruh anak jg pegawai gomen.. jd PTD pun x yah.. sbb plg tinggi pun blh gi jd sampai 54 je.. kalo gov ambik keje pun buat rugi je.. msg2 dh xde cita2 besar nk jd peg2 besar.. konfem keja cincai boncai.. srh anak2 korg pulun keje kt swasta atau masuk politik gila2 nye bagus.. baik ngan pak menteri.. untung2 blh dilantik jd peg besar kerajaan.. x yah faham pasal dasar pentadbiran gomen pun boleh pegang jawatan besar.. x yah susah2 nak merangkak dr bawah..

    ReplyDelete
  29. Dr,
    Yang dah pencen beberapa Kali tapi masih sambung buat apa. Ramai lagi yang berkebolehan bekerja tak dapat nak pangkat sebab takde Sugardaddy Atau MummyRos. Yang betul-betul bagus patut dikekalkan.
    Kerajaan patut mulakan proses pemotongan perbelanjaan pengurusan tahunan yang naik setiap tahun. Faedah dan kemudahan kereta serta driver perlu mula dikurangkan. Ini tidak pengarah dah diberikan driver sekali. Sepatutnya hanya kereta Cukuplah. Kurangkan kos perbelanjaan keluar negara

    ReplyDelete
  30. Dato Seri

    Patut dah lama jawatan jusa dibuka pada semua yang layak. Berlambak orang yang lebih layak dan berpengalaman diluar sana. Kalau nak lebih baik lagi tukar juga mereka yang kerja dalam kerajaan supaya merasa pengalaman bekerja di swasta pulak.Akan banyak menafaatnya yang kita tak pernah terfikir. Buat baru rasa. Itupun kalau kita kisah nak lebih efektif lah. kalau tak tak payah lah ubah-ubah.tentu ada yang menentang.Silap-silap kecoh lah jadinya seperti yang dato Seri rasa.1000000% setuju saranan kerajaan ni.

    ReplyDelete
  31. Sory... Dasar ini jika diperkenalkan, tunggulah kehancurannya seperti pru12. Dasar ini sebenarnya telah menghina seluruh jentera perkhidmatan awam! Nampak sangat yang penjawat awam tidak layak mentadbir menberikan idea yg inovatif. Jadi mansuhkan aje semua anugerah inovasi yang sedang berjalan sekarang. Tak semestinya yang dtg dr luar dan dr kalangan korporat tu bagus2 berlaka. Banyak juga yang melingkupkan syarikat dan langsung tidak beretika dalam pemberian tender swasta, kroni dan penyalahgunaan kuasa!

    Kalau dasar begini ingin juga dilaksanakan, harus juga ada timbal balasnya. Jadi apa kata PENJAWAT AWAM JUGA DIBERI PELUANG SAMA RATA MENTADBIR SYARIKAT SWASTA DAN GLC. JANGAN SEDAP AJE MENGATA PENJAWAT AWAM TAK PANDAI TADBIR. SEKTOR SWASTA SEPERTI PERBANKAN DAN INSURAN JUGA BANYAK HELAH DAN TIPU MUSLIHATNYA!!

    Dari anti-kapitalis

    ReplyDelete
  32. saya berpendirian menyokong langkah kerajaan kerana selama ini golongan PTD memonopoli dan menguasai semua jawatan utama kerajaan. Akibat monopoli golongan PTD menyebabkan sebahagian besar mereka berada dalam zon selesa dan mengakibatkan ketidakcekapan dalam pentadbiran. Hal ini terbukti berdasarkan laporan audit negara dan skandal NFC jelas sekali golongan pembuat keputusan daripada golongan PTD menyalah gunakan kuasa dan tidak cekap dalam melaksanakan tugas. sudah tiba masanya golongan penjawat awam dari skim lain atau pun swasta dilantik agar persaingan yang lebih sihat dan pegawai yang lebih berkelayakan dilantik menjawat jawatan utama dalam sektor kerajaan.

    ReplyDelete
  33. jgn risau la, yg buat keje2 nih sume PTD jugak nanti, heheheh...

    ReplyDelete
  34. YB dari skim bukan M (Tadbir dan Diplomatik) sepatutnya berfikir lebih kritikal dalam memperjuangkan nasib puak2 M yg terlampau-lampau dijaga kerajaan, sehingga hampir kesemua skim lain meluat. Penjawat awam dari skim lain menganggap pembangkang sebagai org yang boleh merubah ketidak adilan ini. Apa yang dicadangkan oleh kerajaan adalah salah satu cara untuk menarik balik sokongan penjawat awam yang lain. -Mohammad-

    ReplyDelete
  35. Salam DR Khir...

    Inilah hikmahnya bila berada di luar... Pandangan yg ikhlas dan bernas boleh dikongsikan bersama..
    Sy sangat setuju dengan pandangan Dr... Sewajarnya idea seperti itu, dilontar jauh.Cuma takut idea itu juga dtg dari mereka yg cuba sabotaj kerajaan...
    Pandangan kawan2 yg menyatakan biar pakar yg memimpin sy rasa itulah yg terbaik...

    NAS...

    ReplyDelete
  36. Betul. Kita betulkan kalau dia orang buat salah atau kalau tak cemerlang... Paling kurangpun kita boleh bagi penyapu pada mana-mana PTD @ DO @ Ketua Jabatan yang tak perform... Salam...

    ReplyDelete
  37. hahaha puas hati aku. aku sokong langkah kerajaan.. kebanyakan PTD ni berlagak je lebih dan pandang kakitangan lain sebagai hamba mereka. Golongan PTD ni mengarah je lebih tp kerja mampus tak leh buat.. harap orang bawahan jer yg tungkus lumus buat kerja tapi yang naik pangkat cepat golongan mereka ni lah..
    Vote 1

    ReplyDelete
  38. Salam Tuan haji Khir,

    Lanjut nya usia dan bertambah peistiwa manis dan pahit, jatuh bangun menambahkan pengalaman dan mematangkan kita. Kesedaran yang sebentar adalah lebih beharga berbanding pengalaman yang banyak,apatah lagi kesedaran yang berpaksikan pengalaman. Cadangan Kerajaan itu ada baik nya, waham Hj. Khir tu ada benar nya juag. Apa hal pun kita perlu berlapang dada. Ada baik jika dibukakan kepada semua kelompok,supaya jawatan KSU dan SUK itu di kontrakkan , katakan 3 tahun, lanjutkan yang berprestasi cemerlang saja. kontrak pula kataka 80 % daripada penjawat awam dan 20% daripada sektor swasta dan GLC.ini akan menghalang "in breeding dan complecent". Kita tengok dulu dan beri peluang ya haji KHIR. Teringat masa lalu......kan tu juaga porak peranda.... apa kata, berlpang dada lah kita.

    ReplyDelete
  39. Kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan PTD atas kerana pengalaman peribadi sepatutnya TIDAK menghukum perkhidmatan PTD itu sendiri. Tindakan sedemikian seolah-olah membuat satu kenyataan umum dan menghukum semua PTD. Sama seperti sebilangan pihak yang menggelar orang islam adalah pengganas. Tetapi, adakah semua orang islam itu jahat atau pengganas. Kita sepatutnya memberi komen yang membina agar semua pihak dapat menikmati hasilnya.

    ReplyDelete
  40. salam 1 malaysia

    dr untuk sekian kalinya saya tidak berapa setuju dengan pandangan dr kerana:

    1. PTD memang cepat pun naik jawatan. Mana fakta kata lambat dan sila buktikan.

    2. Jawatan Utama JUSA C selalu nya di sandang oleh pekerja kerajaan yang senior dalam sistem. Macam mana nak kasi ilmu ma atau pandangan ma jika suda tua cakap olang muda pun tara mau ambil peduli ma

    3. Dr jadi Menteri besar di selangor lama tapi pernah ke dr ambil pendapat yang jawatan 41, 44 DR? sure tak pernah sebab yang menerangkan segala aspek adalah BOS SUK selangor.

    4. Bagus ada kepakaran luar baru jusa-jusa ni fikri sikit nak buat keje n boleh la ambil risiko sikit, asik playsafe aje ,... bila dintanya dalam meeting semua asik setuju aje.

    5. Sudah tiba masa tenaga dan pandangan org luar dibawa masuk dalam penjawatan tertinggi. Buang yang keruh n ambil yang jernih n ambil juga yang keruh utk buat batcmark DR

    a.Khalid
    Pemuda Kuala Kangsar

    ReplyDelete
  41. Dr...
    Saudara menulis...

    "isu yang dibangkitkat oleh Sdr Mat dan beberapa rakan mengenai kerajaan yang menyokong pembangkang. Bagi saya kalau mereka sekadar menyokong tetapi tidak mensabotaj polisi kerajaan dan tidak membocorkan rahsia kerajaan itu adalah hak demokrasi. namun jika mereka bertindak membantu pembangkang dengan mensabotaj kerajaan maka tindakan harus diambil.

    Jika kita ambil dari luar pun tidak mustahil mereka ini akan menyokong pembangkang dan mensabotaj kerajaan. Lihat sahaja pegawai-pegawai besar dalam GLC kita berapa ramai yang menyokong pembangkang dan memberi pelbagai pandangan menyusahkan kehidupan rakyat. Apakah mereka ini tidak mensabotaj kerajaan?"

    Mengapa jika seseorang itu memberi pandangan dari sudut pembangkang harus ditakrifkan sebagai akan menyusahkan kehidupan rakyat? Bagi saya ini adalah satu kenyataan yang paling berat sebelah dan tidak logik. Apakah saudara menganggap pandangan dari sudut pemerintah sahaja yang betul,benar dan memanfaatkan rakyat?

    Apakah jika seseorang itu memberi pandangan terhadap isu yang sedang hangat dibicarakan sekarang ini, misalnya soal NFC menyusahkan rakyat? Cakap biar betul doktor...jangan sedap mulut aje..

    ReplyDelete
  42. Sahabat sahabta bloggers yg di hormati,

    Pegawai kerajaan merupakan golongan pelaksana dasar,bukan mereka yg membuat dasar dan polisi.
    Kabinet adalah mereka yg mesti merancang dan membuat dasar dasar kerajaan disokong dgn sistem berparlemen yg akan menentukan samada dasar itu berjaya atau sebaliknya,sebab itulah menteri bertanggongjawab kepada parlemen dan perlu menjawab persoalan persoalan yg dibincangkan.

    jika menemui kegagalan kita harus selidiki samaada gagal dipihak pembuat dasar atau di pihak perlaksana,adakalanya dasar yg lemah dan tak boleh dilaksana spt skim SUBUR pemberian beras percuma,ia sukar dilaksana kerana kesilapan pembuat dasar berbanding dgn kawalan harga barangan tertentu,dasarnya bagus tetapi sistem perlaksanaan dan penguatkuasaan yg lemah,kesannya pada kerajaan amat buruk,dan jika berterusan ia kan mengutrangkan kepercayaan rakyat pada kerajaan.

    ReplyDelete
  43. sudah tiba masanya jawatan Jusa dan Turus dibuka dan tidak lagi dimonopoli oleh golongan PTD. Pada pendapat saya seharusnya jawatan jusa dan turus patut dibuka kepada mereka yang berkelayakan dan berpengelaman terutamanya kepada penjawat awam dari skim-skim lain seperti doktor, jurutera, peguam, akauntan, guru dan swasta.

    ReplyDelete
  44. sudah muak dengan kelompok PTD yang terlalu menguasai jawatan Jusa dan turus.. Saya amat menyokong sekiranya jawatan tersebut dibuka kepada lebih ramai penjawat awam dari skim lain atau pihak swasta yang berkelayakan dan berpengalaman berbanding PTD yang dilantik ke jawatan tersebut hanya kerana status PTD.

    ReplyDelete
  45. saudara dr khir.. saya berpandangan bahawa salah satu sebab sebahagian besar penjawat awam tidak menyokong kerajaan kerana PTD telah menjadi satu kelas elit dalam perkhidmatan kerajaan sehiggakan merekalah yang menguasai semua jawatan utama sektor awam dan mengenepikan penjawat-penjawat awam dari skim lain dalam pelantikan jawatan Jusa dan turus. Tidak hairanlah mengapa sebahagian besar penjawat awam dari skim lain tidak berpuas hati dan tidak menyokong kerajaan kerana kerajaan membiarkan golongan PTD ini mengubal dan melaksanakan polisi yang hanya menguntungkan kelompok mereka.. Pada hemat saya kerajaan mulai sedar akan tindakan kelompok PTD yang mementingkan kelompok mereka sahaja dan cuba melaksanakan tranformasi kerana kalau perkara ini dibiarkan berterusan tidak mustahil kerajaan yang ada sekarang akan tumbang dalam PRU13..

    ReplyDelete
  46. Apa silap kita cuba cara baru ini? tiada yang pasti berjaya cuma tuhan yang tahu, Tapi yang pasti cara sekarang kurang memuaskan, banyak kelemahan yang perlu diatasi bermula dara atasan !

    ReplyDelete
  47. Salam Dr.

    Dr tulis :

    "4. Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia bukan sahaja merendah-rendahkan kualiti PTD kita tetapi juga merosakkan sistem pemilihan dan kenaikan pangkat PTD sedia ada tanpa sebab yang munasabah."

    merendah- rendahkan kualiti PTD, tetapi siapa yang bagi penyapu pada PTD?

    pada saya, tulisan Dr. di atas ada pro and kontranya. walaubagaimanapun, saya keseluruhannya bersetuju dengan apa yang Dr. tuliskan.

    Apabila kita memanggil "kepakaran luar" secara kontrak, terutama bagi jawatan JUSA (antara jawatan tertinggi dalam kerajaan), banyak masa akan terbazir semata- mata untuk memberi penerangan bagaimana sistem pentadbiran kerajaan akan berjalan.

    rasa kebertanggungjawaban mereka juga akan menjadi isu kerana mereka akan diikat secara kontrak. lebih mudah, apabila corak pentadbiran mereka menemui kegagalan, mereka akan hanya keluar dan lepas tangan. berbeza dengan mereka yang sudah sememangnya dalam perkhidmatan kerajaan, rasa kebertanggungjawaban itu akan terus dipikul selama mana masih berkhidmat. sekiranya gagal, kerjaya dalam perkhidmatan awam akan terjejas dan mungkin akan dipeti sejukkan.

    saya lebih gemar jika kerajaan sentiasa mengadakan "perkongsian maklumat dan teknologi" bersama kepakaran luar secara berterusan dan sentiasa menambahbaik cadangan2 yang dikemukakan oleh pihak luar.

    dan isu lain adalah berkaitan gaji. sepertimana kata Tun Mahathir ketika Anwar dilantik sebagai penasihat ekonomi negeri selangor dengan gaji RM1, lebih kurang begini "jika gaji yang dibayar adalah RM1, maka komitmen, idea dan cadangan yang ditawarkan juga adalah bernilai RM1".

    Adakah tawaran gaji pangkat JUSA ini setimpal dengan komitmen yang akan dicurahkan oleh kepakaran luar ini? jika kita hendak hasil yang lebih baik, maka tawaran gaji juga hendaklah menarik.

    dysh

    ReplyDelete
  48. Kenapa kalau pasal naik pangkat ke JUSA cerita pasal PTD je...

    Dalam perkhidmatan kerajaan, kita ada doktor peubatan, Doktor (Ph.D) pensyarah, jurutera dan guru-guru.. Cuba tanya mereka ni berapa ramai yang JUSA C.. kadang-kadang sampai gugur rambut belajar untuk jadi pakar atau nak dapatkan Ph.D (permenent Head Damage) pas ru dapat DU atau DS52 je. setenggah tu pencen kat DU atau DS54
    je... Ya la PTD tu anak emas..

    Dr Khir ??? Dia tu dulu mula dengan DU41 dan kemudian DU44 betul Doctor? kemudian dia jadi MB..baru nampak berupaya sedikit.. kalau lepak kat Gomen.. Saya tak pasti Dr Boeh JUSA C laji..Kena jadi pakar dulu...yak ni sambung belajar knikal lagi tiga tahun lo...

    ReplyDelete
  49. Bila jawatan banyak diwujudkan PTD main hentam isi aje.PTD baru setahun jagong pun dah 54 dan 40 thn dah JUSA.Apa pengalaman mereka pada usia sebegitu muda.
    Apa kah pegawai bukan PTD tidak komited dan tidak berkebolihan saperti PTD?
    Kebanyakan PTD pandai berkokok tapi ekor bergelumang taik.
    UMNO pun jgn le politikan perkhidmatan awam!

    ReplyDelete
  50. Agaknya saya adalah orang yang terlewat membuat ulasan terhadap tulisan Dr. yang amat menarik ini. Menarik kerana isu ini melibatkan kedudukan bangsa Melayu dalam sektor kerajaan (awam).

    Boleh dianggapkan 90% dari jumlah keseluruhan kakitangan kerajaan yang diterajui UMNO sejak merdeka hingga kini dikuasai bangsa Melayu.

    Justeru tidak hairanlah jika ada pihak, termasuk parti politik (DAP) misalnya baru-baru ini dilaporkan membuat kenyataan untuk mengurangkan kakitangan awam.

    Apakah maksud tersirat di sebalik `kenyataan' tersebut ? Tidak mustahil ada kaitannya dengan kedudukan bangsa Melayu dalam sektor tersebut. Bagi sesetengah pihak isu " pegawai kerajaan ramai" bukanlah isu baru tapi sudah wujud sejak tahun 1970-an lagi (sejak DEB diperkenalkan)

    Namun,apa yang menyedihkan, tidak semena-mena selepas isu itu diuar-uarkan oleh media arus perdana , kerajaan yang diterjui UMNO pula dilaporkan akan membuat langkah yang hampir sama. Cumanya agak lebih lembut sedikit daripada parti lawan atau pihak tertentu itu.

    Siapakah dalang di sebalik cadangan kerajaan (UMNO)ini ?

    Sebagai bekas pegawai kerajaan dan penyokong UMNO saya khuatir langkah ini akan dimanipulasi sepenuhnya oleh pihak tertetu jika mereka menang dalam PRU akan datang untuk mengurangkan kedudukan bangsa Melayu di dalam kerajaan. Ia tidak mustahil !

    Atau apakah isu ini boleh membawa untung besar kepada UMNO yang memimpin kerajaan sekarang pada pilihan raya umum akan datang ?

    Pada saya ia sangat tidak menguntungkan UMNO. Oleh itu saya haraplah pemimpin UMNO di semua peringkat harus sedar bahawa tindakan ini akan menggali kubur sendiri pada PRU akan datang. Nasihatlah PM agar rancangan ini dibatalkan.

    Ada jalan lain untuk mengatasinya jika didapati PTD tidak lagi berkesan. Apakah tidak mungkin pegawai-pegawai dari kumpulan lain seperti perubatan, kejuruteraan,sosial dan sebagainya dilantik sebagai KSU atau KSN bagi mengganti pegawai PTD ? Saya rasa tidak salah, asalkan bukan orang luar dari sektor lain khususnya koperat yang bukan sektor awam.

    ReplyDelete
  51. Salam.

    1. Ptd- mentadbir. Kat mana2 pun ada. Takkan ada cikgu di pej bomba? Atau dr di pejabat haiwan? Namun ada jua cikgu buat kewangan(rugi psal cikgu sepatutnya mengajar) ptd yg mentadbir ni pn x ramai, x sampai 2 ribu rs saya. X mcm cikgu, uniform, dsb. Saya ingin sentuh cikgu, ramai kata lambat naik pangkat, u can check, we have ratios of teacher against student higher than the US. Terlalu ramai cikgu, tp selalu kata x cukup. Mana mereka? Kat opis buat kewangan lah, pentadbiran, jg projek dll. What a waste. I wish my son would have a class of less than 20 per teacher. Not 40-45.
    Ramai cikgu dilantik tp x selari dengan bil sekolah yg kerajaan buat. Inthe end cikgu punya promotion slow. X suka jadi cikgu, tukar la skim masuk ptd.
    2. Entry masuk ptd bkn senang beb=? U kata i nak eksyen? Lantakla, once a friend only managed to pass on his 10th attempt! Yg xdapat? Masuklah skim yg lain. Pastu marah2 ptd. dah masuj skim tu, tuhan bg rezeki buat la yg terbaik. Kan kita bekerja utk rakyat, yg sama?
    3.cerita salah laku dan sebagainya, ini semua faktor manusia beb, cikgu, engineer, dr, polis,askar dll pon ada salah laku. Kalau sistem dah ada tp xnak ikut. Tu la jdnya,malah kalau ksu, kp yg salah laku, its not totally his fault, anak buah punya hal- cuai dsb, bos yg kena.
    4. Skim dr.......hmmm,bidang yg khusus. Aspecialist is totally different than a GP. Kalaukonsep samarata, is it fair for both to hav same salary? Kalau begitu, u dun want to take ur phd but u wNt Jusa(salary) just like ur phd colleuge, is that fair?
    5. If u think u dun suit the system, u cant adapt, u might have a better future outside the system, then WHY BOTHER STAYING?

    Batu Pahat

    ReplyDelete
  52. Pembetulan Dato Seri,

    Yang lebih lama untuk naik ke jawatan kanan adalah mereka yang dari kumpulan professional. Sepanjang pengamatan saya, mereka ini yang telah menaiki tangga gred dari bawah dan mengumpul pengalaman dari setiap peringkat. Contoh yang paling ketara adalah dalam skim Perguruan.

    ReplyDelete
  53. saya setuju - pegawai-pegawai kerajaan tidak seharusnya disamakan peranannya dengan pembuat dasar, tetapi hanya melaksanakan dasar. pegawai kerajaan perlu menumpukan perhatian untuk melaksanakan dasar dan memastikan sistem penyampaian yang cekap. NKRA dan KPI dijadikan satu instrumen dalam GTP kerana pada tahun 2004-2008, dasar-dasar dan program-program tidak dilaksanakan dengan cekap dan cepat oleh pelaksana sehingga memberi kesan kepada rakyat (i.e rakyat tidak dapat merasai impak dari dasar dan program yang telah dirangka dan bajet yang telah diluluskan oleh pembuat dasar)dan ini turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi domestik.

    ReplyDelete
  54. Pada hemat saya, kalau PTD mentadbir dengan baik, adil dan mendengar suara-suara daripada skim lain sebelum ini, tidak timbul kemasukan luar mengisi jawatan Premier dalam sektor awam. Jika pentadbiran sebelum ini diberi kuasa, pangkat, mengambilkira kualiti mentadbir yang baik dan mereka ini datangnya daripada pelbagai skim, dan bukan dimonopoli skim PTD sahaja yang belum tentu menjamin adalah yang terbaik... kerana yang terbaik bukan datangnya daripada skim PTD tetapi datang daripada kreativiti seseorang,sudah pasti perkara ini tidak berlaku. Kerana angkuh dan sombong PTD lah yang mangagungkan mereka hebat, semua ini berlaku. Yaaa, saya setuju tidak semua PTD begitu tetapi majoritinya begitu maka kekurangan PTD ini nampak ketara.

    Anyway, kita cuba dulu tranformasi yang baru ini. Jika orang luar juga tidak bagus, sama-sama kita berunding mencari penyelesaian yang terbaik.

    ReplyDelete
  55. Salam Datuk, harap bersabar di atas segala dugaan.Allah merahmati jika perjuangan kita ikhlas.

    ReplyDelete
  56. Salam Dato'

    Sabar Dato' InsyaAllah kebenaran akan terbukti jua nanti. Ya Allah...perkenankanlah doa hamba hambamu yang teraniaya.. Aminnnnn..

    Matahari Putrajaya

    ReplyDelete