Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, September 29, 2015

Catatan Di Belakang Tirai Besi

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.

2. Saya mohan maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.

3. Saya tahu sebahagian orang  di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan  mereka.

4. Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin UMNO mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana. Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.

5. Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan Pendakwa Raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah.  Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin.

6. Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya. Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.

7. Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Ini kerana saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah 2 tahun penjara.

8. Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.

9. Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.

10. Adillkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.

11. Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak SPRM sendiri.

12. Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM 2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (lihat: Fakta dan Angka Tidak Boleh Menipu]

13. Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.

14. Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.

15. Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus Sudah Harapan?]

The Sun

16. Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.

17. The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor disiytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.

18. Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.

19. Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

20. Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada Menteri Besar selepas saya. Malah ada ketika mereka mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.

Kuil

21. Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM 40 ribu dan juga diberi tapak baru.

22. Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan di situ hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.

23. Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

24. Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai Menteri Besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar. Di bawah pentadbiran saya juga Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

Penyapu

25. Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita?]

26. Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.

27. Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan En Tukiman Nail, bekas Presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.


Setinggan

28. Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan. Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan; (i) memberi penempatan yang lebih baik, (ii) menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan, (iii) memberi subsidi RM 7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.

29. Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor.

30. Jika ada hayat dikandung badan, in sha Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.

Wassalam.

4 comments:

  1. Subhanallah. Allah maha besar dan mengetahui datok. Moga Allah menjadikan datok lebih bersabar, InshaAllah.

    sebsar/selangor

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbt..
    YBhg. Dr. Khir,
    Sebagai seorang penduduk Selangor yang pernah berurusan dan berjumpa dengan Dr., saya ingin merakamkan rasa terkilan yang teramat dengan 'musibah' yang dihadapi.
    Dr., merupakan satu-satu nya bekas Menteri Besar yang terbuka untuk dijumpai oleh rakyat dan bersedia untuk mendengar setiap permasalahan dan juga usulan - I value that so much.
    Sepanjang pentadbiran Dr., saya dapat merasakan perubahan yang ketara.,namun sebagaimana yang diketahui tidak semua perkara yang di laksanakan di anggap baik walaupun di buat dengan segala kebaikkan dan kebijaksanaan yang ada. Saya pasti setiap amal yang telah Dr. lakukan hanya Allah swt yang dapat menilai.
    Saya sekali lagi berdoa agar segala musibah ini dipermudahkan oleh Allah swt...semuga Dr. & keluarga mampu bersabar dan dilindungi Allah swt..
    Dr. Nooreha Husain - Shah Alam

    ReplyDelete
  3. Datuk Seri, Semoga tabah, sesungguhnya kami faham dan meyokong usaha Datuk Seri selama ini, memimpin negeri Selangor dengan baik dan memimpin UMNO juga dengan baik dan adil. Semoga dugaan kecil ini tidak akan melunturkan selamat juang Datuk Seri selama ini. Saya sangat berharap rayuan untuk mengurangkan hukuman ini dapat dilakukan. - Zaidah Idris PJ Utara.

    ReplyDelete
  4. Salam dr...tabah kan hati dan berserah pada yg maha kuasa..you dont win all and dont lose all...anggaplah apa yg berlaku sebagai kifarah...mungkin dalam menjalankan tugas sebagai menteri besar dulu tanpa sengaja dr telah mezalimi sesorang..jasa dan pengorbanan dr juga tidak kurang hebatnya kpd rakyat selangor..mungkin dr merasakan ketidakadilan diatas hukuman tersebut...tengok dari sudut constructive dengan merenung kembali sambil mencari silap semasa berkuasa....yg bagus tetap bagus tidak perlu lagi di ungkapkan...yang lemah serta kekurangan perlu dibaiki...insyalllah Allah tetap bersama..

    ReplyDelete